Penyewa ditemui meninggal dunia dalam rumah, pemilik rumah bertindak mengunci pintu dari luar kerana penyewa itu sudah 3 bulan tidak bayar sewa. Bau pelik membongkar penemuan mayat seorang lelaki berusia 40 tahun dalam sebuah rumah di kondominium di Petaling Jaya.
Menurut peguam yang mewakili keluarga mangsa, dia tidak dapat meminta bantuan kerana tiada wang untuk tambah nilai telefon bagi membuat panggilan.
Dalam pada itu, tuan rumah berkenaan menafikan sengaja mahu mengurung mangsa sebaliknya tidak tahu keberadaannya di dalam semasa mengunci pintu rumahnya pada 2 Julai lepas.
Katanya, mangsa sudah dihubungi lebih dari 30 kali namun tidak mengangkat dan disebabkan itu pemilik terbabit tidak memecah masuk untuk periksa jika penyewanya ada di dalam.
Dia turut mempersoal mengapa mangsa tidak mencari jalan dan mendakwa ada cara lain untuk keluar dari unit itu iaitu menerusi balkoni di ruang tamu atau dapur.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan memaklumkan, hasil bedah siasat mendapati penyewa meninggal dunia akibat serangan jantung, bukan disebabkan kelaparan.
Tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.