Home Isu Semasa Banyak Rampasan Akan Dibuat Berkaitan Siasatan 1MDB – KPN

Banyak Rampasan Akan Dibuat Berkaitan Siasatan 1MDB – KPN

230
0

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka akan melakukan banyak rampasan berkaitan siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) susulan penahanan Jasmine Loo Ai Swan pada 7 Julai lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini individu yang didakwa sekutu rapat Low Taek Jho atau Jho Low itu memberi kerjasama sangat baik kepada polis.

Menurutnya, Jasmine yang juga bekas peguam IMDB ketika ini masih ditahan dan siasatan terhadapnya sedang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

“JSJK masih lagi meneruskan siasatan terhadap Jasmine di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) dan beliau juga memberikan kerjasama yang baik.

“(Selepas ini) kita akan melakukan rampasan yang banyak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Madani Ride oleh PDRM dan Ipoh Superbike Club (ISBC) di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.

Jasmine ditahan polis pada Julai lalu bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.

Bloomberg sebelum ini melaporkan penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu pengarah eksekutif Casey Tang dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Ditanya mengenai rampasan dan lucut hak aset IMDB akan dilakukan dalam tempoh terdekat, Razarudin berkata, perkara itu akan dilaksanakan namun siasatan mengikut AMLA berkemungkinan akan mengambil tempoh yang panjang.

“Kita dalam proses itu (rampas), namun disebabkan AMLA ini perlu melalui prosesnya, kita akan mulai dengan merampas selepas itu ia akan dilucutkan hak atas arahan mahkamah, berdasarkan cadangan-cadangan daripada PDRM,” katanya.

Menurutnya, sekutu rapat Jho Low itu juga akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas siasatan polis selesai berhubung skandal kewangan itu.

[redirect url=’https://youtu.be/LBFZ8sPuuM8′ sec=’3′]

Previous articleTiada Sebab Jabatan Peguam Negara Teliti Semula Kes Sudah Didakwa
Next articleBuat Apa Bayar Lebih, Anda Boleh Dapat Nasi Lemak Lobster Berharga RM9.99 Sahaja

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here