Semakin meningkat usia tidak menghalang pasangan warga emas untuk terus komited dan istiqamah dalam menjaga anak lelaki mereka yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).
Zuriah Ibrahim, 61, berkata, dia tidak pernah jemu memenuhi keperluan anaknya Abdul Rahman Hasan, 31, yang terlantar sejak 11 tahun lalu.
Bagaimanapun, dia menyatakan kebimbangannya tentang apa yang akan berlaku kepadanya sekiranya suaminya Hasan Mat, 67, meninggal dunia terlebih dahulu.
Katanya, Abdul Rahman yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik dilahirkan normal, namun segala-galanya berubah selepas mengalami demam panas ketika berusia empat tahun.
Tambahnya, selepas itu, Abdul Rahman mengalami kesukaran mengimbangi ketika berjalan.
“Namun, ketika berusia kira-kira 20 tahun, dia tidak boleh berjalan lagi. Dia tidak mampu menjaga diri dan baring di atas katil. Dia akan merengek untuk mendapat perhatian apabila dia lapar atau mahu minum susu.
Zuriah berkata, setiap bulan dia memerlukan RM1,000 untuk membeli barangan keperluan Abdul Rahman.
Abdul Rahman hanya bergantung kepada minum susu formula yang diberikan dua kali sehari, selain memakan makanan yang lembut.
Zuriah berkata, walaupun dia tidak lagi sekuat dahulu, mereka bertekad untuk menjaga Abdul Rahman sehingga ke akhirnya.
Penyelam yang mencari enam mangsa, termasuk jutawan teknologi dari United Kingdom (UK) Mike Lynch, yang hilang selepas kapal layar mewah karam di Sicily, berjaya...