SEMINGGU berada di set penggambaran, usahawan kontroversi Ahmad Iqbal Zulkefli memberitahu semakin selesa dengan bidang yang baharu diceburinya itu.
Iqbal, 28, berkata, dia seronok beraksi di hadapan kamera dan baharu tersedar mempunyai bakat terpendam dalam bidang tersebut.
“Selepas beberapa hari di set penggambaran, saya sedar sebenarnya punya bakat untuk berlakon.
“Hari pertama shooting saya hampir putus asa kerana merasakan proses penggambaran jadi lambat disebabkan saya masih baru belajar.
“Selepas beberapa hari, sudah mula rasa seronok dan saya sedar rupa-rupanya saya boleh berlakon,” katanya kepada mStar.
Iqbal menjadi peserta pertama tersingkir Big Stage 2022.
Iqbal bakal muncul dalam drama 30 episod berjudul Perempuan Itu yang turut menampilkan pelakon Zul Ariffin dan Mimi Lana.
Berkongsi pengalaman tentang dunia lakonan, kata Iqbal ia membuatkan dirinya lebih terbuka dan senang bergaul dengan ramai orang.
“Ketika awal digandingkan dengan Zul, saya memang gementar. Dia macho sangat dan membuatkan saya tidak yakin untuk habiskan skrip.
“Berlakon tidak sama seperti dunia perniagaan. Saya jadi lebih terbuka dan dapat kenal ramai orang.
“Pelakon dan kru produksi lain juga mudah memberi bantuan dan tunjuk ajar.
“Saya mahu teruskan penglibatan dalam dunia lakonan untuk cabar diri sendiri. Kalau boleh mahu cuba pelbagai watak dan kalau boleh watak yang serius,” katanya.
Iqbal mula seronok berlakon.
Dalam masa sama, Iqbal juga bagaikan tidak percaya dirinya kini memegang status sebagai artis apabila semakin dikenali.
“Artis ke saya ni? Saya sendiri tak tahu kalau betul sudah memegang status sebagai artis.
“Bagaimanapun saya lebih selesa dianggap seperti kebanyakan orang lain. Saya manusia biasa sahaja,” katanya.
Sumber: Mstar