Berjaya Mutual Sdn Bhd (dahulunya Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd) menyasarkan untuk meningkatkan aset di bawah pengurusan (AUM) kepada RM5 bilion menjelang tahun 2026 daripada RM1.2 bilion pada masa kini.
Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Mutual, Eugene Chew Boon Chye, berkata syarikat itu, yang telah melancarkan tiga dana bulan ini dengan sasaran AUM sebanyak RM100 juta, merancang untuk melancarkan dua lagi produk pada bulan hadapan dan tiga lagi pada separuh kedua tahun ini.
Lima produk akan datang itu dijangka menjana antara RM200 juta dan RM300 juta dalam AUM, katanya pada sidang media selepas pelancaran Berjaya Mutual di sini, hari ini.
“Kami juga telah merancang untuk melancarkan lebih banyak produk dalam tempoh dua tahun akan datang, termasuk produk-produk inovatif seperti aset-aset digital dan produk berstruktur bersama rakan kongsi strategik.”
“Inilah cara kami untuk menembusi pasaran, terutamanya dalam segmen-segmen yang tidak mendapat perkhidmatan dan kurang mendapat perkhidmatan,” katanya.
Boon Chye berkata, syarikat itu juga merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk patuh syariah dengan ciri-ciri wakaf pada masa hadapan.
“Ini akan membolehkan pelabur kami bukan sahaja melabur untuk memperoleh pulangan bagi diri mereka sendiri, tetapi juga memberi mereka peluang untuk melakukan sumbangan melalui wakaf,” tambahnya.
Berjaya Mutual hari ini mengumumkan penjenamaan semulanya daripada Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd.
Pengerusi Berjaya Mutual, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail, dalam ucapan pelancaran penjenamaan semula itu berkata syarikat berkenaan menyasarkan untuk menjadi syarikat pengurusan aset terkemuka di negara ini, menawarkan produk pelaburan unik yang disesuaikan untuk rakyat Malaysia.
“Syarikat akan dipandu oleh tiga pemacu utama, iaitu menyediakan akses kepada pelaburan untuk semua, mewujudkan diri kami sebagai rakan kongsi yang dipercayai, dan menggabungkan falsafah pelaburan yang disesuaikan serta inovatif,” kata Tunku Aminah.
Sumber: Portal