Pelakon kontroversi, Aliff Aziz dan Ruhainies, mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan berhubung kes khalwat pada 9 Mac lalu semasa pertuduhan dibacakan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, pagi tadi.
Aliff dan Ruhainies, yang diwakili oleh peguam Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan hakim Abu Suffian Abu Yaziz.
Pendakwaan dilakukan oleh Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Nahar Mohamad dan Masroha Duki.
“Kedua-dua hadir hari ini bersama peguam Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani. Kes ini disebut pada 20 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah, tiada sebarang pengakuan dan tangguhan juga sudah dibuat serta dilepaskan dengan bon jaminan RM1,500 dan seorang penjamin,” kata Masroha ketika dalam dewan bicara.
Aliff juga mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
“Saya mengaku tidak bersalah,” katanya.
Ruhainies turut mengaku tidak bersalah.
“Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya.
Prosiding diteruskan dengan perbicaraan yang melibatkan saksi daripada pihak tertuduh.
Mahkamah menetapkan 12 Oktober sebagai tarikh seterusnya dan bon jaminan dilanjutkan sehingga tarikh tersebut.
Pertuduhan terhadap mereka didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 27(b) akta yang sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk proses lanjutan bon jamin terhadap kes khalwat yang dilaporkan berlaku di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 9 Mac lalu.
Selepas dibawa ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk disoal siasat, Aliff dan Ruhainies masing-masing dibebaskan dengan jaminan kira-kira jam 2 petang pada hari yang sama.
Sebelum ini, media melaporkan seorang artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah di sini.
Sumber melaporkan bahawa tangkapan oleh Jawi dibuat berdasarkan maklumat awam. Pasangan selebriti yang sibuk menjalani penggambaran drama itu dilaporkan ditahan di kediaman milik pelakon wanita berkenaan.
Susulan insiden itu, Aliff dan Ruhainies masing-masing tampil memberi penjelasan menerusi hantaran Instagram berhubung kontroversi yang tercetus.
Aliff menjelaskan tiada apa yang berlaku antara dirinya dan Ruhainies ketika diserbu Jawi di kondominium milik aktres berkenaan.
Ruhainies turut menjelaskan kronologi kejadian, selain berharap Aliff dan bekas isterinya, Bella Astillah, tidak berpisah.
Aliff dan bekas isterinya, Bella, yang mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, bercerai talak satu pada 13 Jun lalu.
Mereka dikurniakan dua anak iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.
Sumber: Portal
PERHATIAN: Pihak Sinetron Malaya tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Sinetron Malaya juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Jangan lupa komen yang baik baik sahaja.