Kasih seorang bapa memang tidak disangkal lagi. Setiap ayah pasti akan buat apa sahaja demi keluarganya. Ada yang sanggup masuk ke terjun ke lautan dalam demi selamatkan keluarga, ada yang sanggup masuk ke dalam rumah terbakar demi selamatkan keluarga tersayang.
Seorang bapa nekad mencampak dua anak lelakinya dari tingkat atas selepas berlaku kebakaran deretan rumah kedai di Pekan Lenga, Bukit Kepong, Pagoh dalam kejadian awal pagi semalam. Menurut laporan Harian Metro, Zamirul Suahimi, 30, mencampak Muhammad Firas Syahmi, 10, dan Muhammad Harith, 4, sebelum kedua-duanya disambut oleh orang awam.
Isteri kepada Zamirul berkongsi yang dia secara pantas mencampak anaknya dari tingkas atas kedai bagi menyelamatkan kedua anaknya.
“Suami terus bangun apabila mendengar jeritan sebelum mencampakkan anak dari tingkat atas kedai,” katanya.
Difahamkan, Zamirul yang cedera pada tangan akibat terkena zink selain melecur di telinga, mata, mulut serta bengkak di tengkuk sedang menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
Ramai netizen yang mendoakan agar Zamirul dan keluarga dapat segera pulih. Ramai juga memuji sikap Zamirul yang tidak teragak-agak bertindak demi menyelamatkan nyawa anaknya yang tersayang.