Seorang lelaki ditangkap ketika cuba mencuri senjata submesingan jenis HK MP5 daripada anggota polis yang bertugas di pintu pagar Balai Polis Dato Keramat di sini, awal pagi tadi.
Suspek berusia 35 tahun dikatakan menunggang sebuah motosikal, mendekati anggota yang sedang bertugas di pintu pagar balai tersebut pada jam 4 pagi sebelum meminta anggota membuka pintu masuk.
Ketika anggota tersebut meminta suspek menyatakan tujuannya ke balai, suspek tiba-tiba mengeluarkan kata-kata kasar terhadap anggota tersebut selain mencuba untuk masuk ke dalam kawasan balai tersebut.
Setelah memasuki kawasan balai, suspek cuba mencuri senjata submesingan jenis HK MP5 yang dipegang oleh anggota tersebut tetapi gagal.
Selepas itu, anggota tersebut cuba menenangkan suspek termasuk memberi amaran supaya tidak mengulangi perbuatannya, tetapi suspek secara tiba-tiba melepaskan topi keledarnya dan menyerang anggota tersebut.
Walau bagaimanapun, tindakan suspek itu digagalkan selepas anggota tersebut, dengan bantuan rakan setugasnya, berjaya menangkapnya.
Sumber: Berita Harian