BELUM pun kelahiran cahaya mata sulung, seorang bakal ibu sudah membuat persiapan awal untuk menjalani tempoh berpantang selepas bersalin.
Bukan biasa-biasa persediaannya apabila sebuah kereta mewah Lamborghini dihadiahkan buat suami sebagai ‘ganjaran’ kerana menjaganya ketika berpantang.
Berkongsi pengalaman, wanita itu, Anes Ayuni Osman berkata, hadiah diberikan menerusi satu kejutan di sebuah pusat jualan kereta di Kuala Lumpur pada Jumaat petang lalu.
Bakal ibu muda berusia 19 tahun itu memberitahu, kereta Lamborghini model Huracan Evo warna turquoise yang dibeli khas buat suaminya itu bernilai RM2 juta.
View this post on Instagram
“Alhamdulillah rezeki kami tak pernah putus sejak berkahwin. Suami pun menjaga saya dengan begitu baik terutama ketika kehamilan saya.
“Selain menghargai pengorbanan suami, hadiah Lamborghini ini kerana mahu dia sentiasa di sisi saya sepanjang tempoh berpantang,” katanya yang sarat hamil sembilan bulan kepada
Pelukan suami yang terharu menerima kejutan hadiah.
Dijangka menyambut kelahiran cahaya mata sulung pada akhir bulan ini, dia yang lebih mesra disapa Ayuni mempunyai alasan mengapa hadiah yang merupakan kereta kegemaran suaminya, Ahmad Weldan Zulkefli, 20, diberikan lebih awal.
“Saya beri hadiah awal-awal sebab masa berpantang nanti tak boleh pergi jauh-jauh. Ikut perancangan, saya akan berpantang di rumah keluarga saya di Pasir Mas, Kelantan.
“Mengikut amalan berpantang yang sering dilakukan oleh keluarga saya di Kelantan, tempohnya sehingga 100 hari. Maka tiga bulanlah suami kena ikut saya ‘berkampung’ di rumah mak ayah saya,” ujarnya yang berasal dari Pasir Mas dan menetap di Kota Bharu.
Ayuni dan suami bakal bergelar ibu dan bapa.
Menurut usahawan muda yang mendirikan rumah tangga pada Februari 2021 ini, pastinya dia mengharapkan yang terbaik daripada suami untuk menjaganya sepanjang tempoh berpantang.
“Saya jangkakan suami bukan sekadar sentiasa bersama saya, tapi dia kena jaga baby siang dan malam. Sebabnya saya kemungkinan akan bersalin secara ‘czer’.
“Ibu-ibu pasti tahu sakitnya selepas bersalin ‘czer’. Jadi, saya mahu lebih perhatian daripada suami,” kata Ayuni yang merahsiakan jantina anak tapi mendedahkan namanya akan mempunyai awalan huruf A sebagaimana namanya dan suami yang juga usahawan.
Ayuni dan suami bersama kereta Lamborghini masing-masing.
Selain menjaga bayi sepanjang tempoh berpantang, Ayuni yang mengusahakan bisnes kosmetik turut berharap suami akan mencuci lampin dan membersihkan najis serta kencing anak.
“Suami okay je nak bersihkan sebab selama ni dia juga selalu buat perkara sama pada kucing peliharaan kami. Suami juga boleh berjaga waktu malam sebab otak bisnes suami lebih ligat waktu malam buat kerja marketing.
“Suami pernah tak tidur sampai ke pagi. Dia cuma risau bila berjaga malam dan siang tidur, masa siang tu pula anak meragam. Kalau jadi macam tu, saya kena kejutkan suami untuk uruskan anak,” ujarnya secara berseloroh.
Video Ayuni membuat kejutan pada suaminya meraih lebih sejuta tontonan kurang 24 jam menerusi aplikasi TikTok.
Ayuni sebelum ini berbelanja RM50,000 untuk membeli beg keperluan bayi.
Kisah Ayuni pernah tular apabila berbelanja sebanyak RM50,000 dalam masa sehari bagi membeli beberapa beg jenama mewah Louis Vuitton untuk keperluan bayi yang bakal lahir.
Wanita ini juga pernah meraih perhatian apabila mengidam untuk memiliki kereta mewah Lamborghini model Aventador SV bernilai RM3 juta ketika hamil, dan permintaan itu ditunaikan suaminya selepas berjaya memenuhi syarat dengan salah satu videonya di aplikasi TikTok mendapat 100,000 likes.
Sumber: Mstar