Lelaki yang diburu polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan dan pembakaran rumah yang mengorbankan ibu bapa dan anak saudaranya di Kampung Paya Redan, Pagoh pada Jumaat lalu telah direman selama tujuh hari mulai hari ini.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Fatin Dalilah Khalid.
Suspek, yang berpakaian lokap, tiba di Kompleks Mahkamah Muar pada jam 9.13 pagi dengan kawalan ketat pihak polis.
Difahamkan, suspek telah ditangkap di tepi jalan sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada jam 1 pagi tadi.
Sebelum ini, polis giat mencari suspek Azman Mohamed Nor, 48, untuk membantu siasatan selepas dia melarikan diri sebaik sahaja berlaku kebakaran rumah separa kekal di Kampung Paya Redan, pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian sekitar jam 1.30 pagi itu, tiga sekeluarga terkorban dalam kebakaran tersebut.
Mangsa terdiri daripada pasangan warga emas, yang juga ibu bapa suspek, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isterinya, Ara Abd Hamid, 76.
Cucu mereka, yang juga anak saudara suspek, Noradriana Nor Hasyim, 11 tahun, turut terkorban.
Bedah siasat ke atas ketiga-tiga jenazah tersebut membongkar tragedi sebenar yang melibatkan unsur jenayah.
Jenazah Noradriana telah dikebumikan pada Sabtu lalu, manakala jenazah datuk dan neneknya masih berada di Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk ujian DNA kerana kedua-duanya hangus hingga sukar dikenali jantina mereka.
Kakak Noradriana, Norazimah Mohd Radhi, 14, mengalami kecederaan di kepala dan tangan tetapi berjaya menyelamatkan diri dengan mendapatkan bantuan jiran dan kini sedang dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.
Sumber: Portal
PERHATIAN: Pihak Sinetron Malaya tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Sinetron Malaya juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Jangan lupa komen yang baik baik sahaja.