Di Facebook, perkongsian seorang individu di laman Peguam (staff) dan Pengguna Malaysia (PPM) menjadi tular. Individu tersebut meminta khidmat nasihat berkenaan isu solat Jumaat di tempat kerjanya.
Dalam luahannya, individu tersebut, yang merupakan pekerja syif, menyatakan bahawa dia menerima ‘query letter’ daripada majikan selepas keluar solat Jumaat.
Jelasnya, selama dua tahun bekerja di tempat tersebut, tidak pernah timbul sebarang masalah bagi individu tersebut untuk keluar menunaikan solat Jumaat. Namun, secara tiba-tiba, dia menerima surat berkenaan dari majikan.
“Saya ingin dapatkan khidmat nasihat mengenai hak pekerja berkenaan solat Jumaat. Saya bekerja syif. Baru-baru ini saya dapat query letter kerana menunaikan solat Jumaat…”
“Selama saya bekerja dua tahun, tak pernah ada isu menunaikan solat. Apakah langkah seterusnya yang boleh saya lakukan?…”
Pemuda ini meminta peguam yang dapat membantu menyelesaikan isu tersebut untuk menghubunginya.
Berdasarkan laporan mStar, seorang peguam memberikan nasihat kepada pemuda tersebut untuk menjawab surat berkenaan bagi memberi justifikasi. Peguam tersebut juga menyatakan bahawa jika majikan memotong gaji atau elaun disebabkan solat Jumaat, pekerja berhak untuk membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Selain itu, jika pekerja diberhentikan kerja, mereka boleh membuat laporan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP). Kejadian ini dikatakan berlaku di negeri Selangor.