Status Facebook Imam masjid Putra jadi tular, ‘orang Islam kena ada parang sembelihan untuk si kafir’. Seorang imam Masjid Putra di Putrajaya menjadi sebutan di media sosial apabila hantarannya di Facebook pada 2019 yang menyeru perlunya orang Islam menyediakan ‘parang sembelihan’ untuk ‘si kafir’ kembali tular.
Satu tangkap layar atas nama Bakri Amboala pada era kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu berbunyi:
“Orang Islam kena ada parang sembelihan. Untuk persiapan. Mana tahu, si kafir nak jadi macam lembu korban.”
Semakan di laman web Masjid Putra mendapati Bakri sekarang berjawatan Penolong Pengarah Kanan dalam seksyen/unit Khidmat Sosial.
Pada Ogos 2019, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika itu dilapor sedang menyisat kiriman Facebook tersebut.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudiannya menahan individu terbabit yang pada masa itu berusia 43 tahun di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Cheras.
Hasil siasatan awal polis di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia itu mendapati suspek memberitahu bahawa akaun Facebook miliknya itu telah digodam.
Tangkap layar Bakri yang kontroversi itu menimbulkan persoalan bagaimana dia masih boleh jadi Imam Masjid Putra yang terletak bersebelahan dengan Perdana Putra iaitu Pejabat Perdana Menteri Malaysia.
Dia yang gemar berswafoto juga dilihat penyokong Perikatan Nasional (PN).
Hantaran Bakri di Facebook selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos lalu juga dilihat ‘berbau’ PN.
Alhamdulillah, bertasbih (Subhanallah) dan beristighfar lah,” tulisnya dengan berlatarkan warna biru PN.
Dia juga kemudiannya berkongsikan tiga imej grafik keputusan rasmi PRN di ruangan komen hantaran tersebut dengan meninggalkan komentar, “syukur”, ” Allahu Akbar” dan “barakallah fik”.
Bakri yang juga Timbalan Pengerusi Surau An-Najah, Presint 9, Putrajaya dalam satu hantaran memberitahu berasal dari Tawau, Sabah.
Susulan kenyataan melampau dan kencenderungan politik yang dilihat tidak bersama Malaysia Madani itu, orang ramai berharap pihak kerajaan segera ‘membersihkan’ masjid dan surau daripada golongan agama yang bersifat demikian.
“Kepada YDP Agong dan Majlis Raja-Raja, tolonglah bersihkan masjid-masjid kita dari spesis manusia sampah perosak seperti ini.”
“Kerajaan kena tangani isu ini dengan tegas dah tiada rasa bersalah langsung.”
“Ni antara ciri-ciri ghuluw (ekstremisme) yang perlu kepada pencegahan awal sebelum merebak,” demikian antara komentar orang ramai.
Dalam masa sama, warganet turut menyeru JAKIM memecat atau memindahkan mana-mana pegawai dan imam yang tidak menyokong kerajaan Madani diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dipindahkan ke Kelantan, Kedah atau Terengganu.
Kelmarin, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengingatkan Kerajaan Perpaduan supaya menerapkan dasar naratif Islam kepada setiap agensi dalam setiap perancangan dan program-program merakyatkan Madani.
“Agensi kerajaan teras yang perlu menggerakkan dasar Madani dalam naratif Islam ialah JAKIM.”
“JAKIM punya infra yang boleh menggerakkan jentera pentadbiran Islam Persekutuan dengan syarat PMX perlu tegas dalam mengarahkan pelaksanaannya melalui menteri yang bertanggungjawab.”
“Ada 14 agensi di bawah Menteri Agama yang perlu menumpukan menjayakan agenda Madani secara berperancangan,” kata Dr Mujahid.
Beliau yang juga Naib Presiden AMANAH merangkap Pengerusi Nadwah Ulamak (NUNJI) menegaskan bahawa semua program Madani perlu dipertanggungjawabkan kepada satu agensi yang perlu bergerak merentas agensi.
“Terpulang kepada PMX untuk secara serius menginstitusikan Malaysia Madani dan menggerakkannya ke akar umbi.”
“Pengalaman Rahmatan Lil Alamin walaupun hanya 22 bulan tetapi tapak dan asas telah pun dilancarkan, PMX hanya perlu menyambung, memperbaiki dan menetapkan keutamaan naratif Islam Madani selain ekonomi dan sara hidup.”
“Kita tidak punya masa yang mewah!” tegas bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu lagi.
Sumber: Facebook
[redirect url=’https://youtu.be/txDckYCyzm4′ sec=’3′]