Home Isu Semasa Lans Koperal Muhammad Alif Monjani didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu...

Lans Koperal Muhammad Alif Monjani didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas tuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah

57
0

Anggota polis dari Balai Slim River, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini atas tuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah.

Tertuduh berusia 26 tahun itu didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, antara 10 Julai hingga 15 Julai lalu.

Dia didakwa melakukan pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara di antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebaik kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza, kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, suspek tiba di pekarangan kompleks mahkamah pada jam 9.04 pagi dengan tangan bergari dan berpakaian baju T serta seluar hitam, sambil dikawal rapi oleh anggota polis.

Masing-masing seorang wakil daripada keluarga mangsa dan keluarga tertuduh juga dilihat memasuki kamar mahkamah sejurus suspek dibawa masuk.

Lebih 30 pengamal media memenuhi pekarangan mahkamah seawal jam 7 pagi tadi untuk membuat liputan pendakwaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan suspek yang juga seorang anggota polis akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Hussein juga dipetik berkata, siasatan kes itu telah selesai, dan perselisihan perhubungan dipercayai menjadi punca gadis berumur 25 tahun itu dibunuh.

Pada 15 Julai lalu, media melaporkan mayat Nur Farah Kartini dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.

Penemuan mayat mangsa adalah hasil soal siasat ke atas suspek yang juga kenalan kepada mangsa.

Suspek direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Julai lalu sebelum tempoh reman ke atasnya disambung tujuh hari lagi hingga 29 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis Perak mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya yang bertugas di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim, dan sudah lima tahun berkhidmat.

Suspek yang berasal dari Melaka juga sudah mendirikan rumah tangga.

Dalam siasatan kes pembunuhan itu, pasukan penyiasat polis melakukan pelbagai operasi mencari dan mengesan bahan bukti di beberapa lokasi sekitar daerah Hulu Selangor, Muallim dan Slim River di Perak.

Pencarian yang dijalankan oleh pasukan forensik, termasuk unit skuba itu antara lain membawa kepada penemuan telefon bimbit dalam parit serta kunci kereta dan dompet dalam Sungai Trolak.

Sumber: Portal

PERHATIAN: Pihak Sinetron Malaya tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Sinetron Malaya juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Jangan lupa komen yang baik baik sahaja.

Previous articleHanya Mampu Menangis Lihat 2 Kawan Baik Maut Dalam Kemalangan
Next articleBapa Tiga Anak Lumpuh Akibat Kelapa Jatuh Atas Kepala

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here