SUDAH menjadi kemestian bagi setiap individu untuk merakam momen terutama apabila melakukan sesuatu aktiviti ataupun berkunjung ke mana-mana lokasi untuk disimpan sebagai kenangan.
Lebih-lebih lagi apabila ketika ini hampir semua telefon pintar dilengkapi dengan kamera, ia sekali gus memudahkan pengguna untuk mengambil gambar atau video.
Seiring dengan peredaran zaman, fungsi kamera pada telefon bimbit juga menjadi semakin canggih.
Mungkin ia tidak menjadi masalah kepada golongan muda, namun bagi sesetengah golongan berusia, fungsi peranti yang semakin canggih sedikit sebanyak membuatkan mereka ‘terkial-kial’ sebagaimana video yang tular di aplikasi TikTok baru-baru ini.
Menerusi perkongsian berkenaan, kelihatan dua wanita warga emas sedang cuba merakam video daripada telefon bimbit yang baru dibeli, namun gagal apabila tidak pandai menukar (flip) fungsi kamera depan dan belakang.
View this post on Instagram
“Situasi mama dan mak ndak struggle nak flip video guna kamera belakang failed,” demikian kapsyen pada perkongsian tersebut yang sehingga kini meraih melebihi 232,000 jumlah tontonan.
Menurut Nor Asmalinda Mat Alias, ibunya yang hanya mahu dikenali sebagai Jamaliah dan ibu saudaranya, Shamsiah ketika itu sedang menuju ke Shah Alam dari Meru, Klang untuk bersarapan bersama.
Linda berkongsi video lucu gelagat ibu dan ibu saudaranya di aplikasi TikTok.
“Kisahnya, mama dengan mak ndak ni nak pergi sarapan dekat Shah Alam. Mak ndak yang duduk di tempat duduk penumpang teringin nak buat video keluar dengan mama, tapi tak pandai sebab itu telefon bimbit baru.
“Tapi sampai ke sudah tak jadi sebab tak pandai nk flip kamera,” ujar wanita berusia 24 tahun ini yang senang disapa Linda.
Tambah Linda, mak ndak yang merupakan adik kepada ibunya itu menetap di Muadzam Shah, Pahang dan berkunjung ke Meru, Klang untuk bercuti dan menziarahi keluarganya.
Ujarnya, insiden lucu itu diceritakan kembali ibu saudaranya selepas mereka pulang dari bersarapan.
Masa mak ndak tunjuk video tu pun, mama dengan mak ndak gelak sekali dengan saya.
NOR ASMALINDA MAT ALIAS
“Balik tu dia cerita dan tunjuk video tu dekat saya. Masa dia cerita, saya ketawa dan dalam masa yang sama kesian pun ada.
“Masa tu rasa kelakar sangat, masa mak ndak tunjuk video tu pun, mama dengan mak ndak gelak sekali dengan saya. Saya rasa kelakar, saya minta mak ndak share video tu dekat WhatsApp saya,” ujarnya sambil menambah, kedua-duanya berusia dalam lingkungan 60-an.
Tambah Linda, dia sama sekali tidak menyangka video berkenaan meraih jumlah tontonan yang tinggi, namun gembira apabila membaca hampir kesemua komen netizen yang terhibur dengan gelagat ibu dan ibu saudaranya itu.
Rata-rata netizen turut terhibur dengan gelagat dua beradik warga emas berkenaan.
“Tapi ada satu komen, suara mama bercakap macam suara arw4h mak dia. Itu komen yang buatkan saya agak sedih pula.
“Saya upload dekat TikTok tengah hari tak silap saya masa tu, masa waktu Maghrib tu baru saya perasan video mama dah viral. Saya tunjuk dekat mama dengan mak ndak, mereka gelak-gelak je. Mereka reda,” katanya lagi
Sumber:mStar