“Saya hanya mampu menangis apabila sampai ke lokasi kejadian selepas melihat dua rakan baik terbaring kaku dengan kecederaan parah…” – Muhamad Farihan Haikal Mohd Rasdi
Dia adalah sahabat kepada dua remaja lelaki, Muhammad Shahrul Huzaimi Mohd Azman dan Muhammad Aliff Haikal Abd Rahman, masing-masing 17 tahun, yang meninggal dunia akibat kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Rantau Panjang – Pasir Mas, di sini, pada 12 tengah malam tadi.
Muhammad Farihan berkata, dia sempat mengajar Muhammad Aliff mengucap sebelum melihat kawannya itu menghembuskan nafas terakhir, manakala Muhammad Shahrul dilihat sudah tidak sedarkan diri pada ketika itu.
“Kami sebenarnya berkumpul bersama-sama kira-kira 9 malam tadi, di Dataran Baru Pasir Mas, yang mana jaraknya hampir enam kilometer (km) dari lokasi kejadian, namun kemudian mereka bertiga termasuk Bilal Alif Faizal, 19, yang kini sedang mendapat rawatan memberitahu mahu bergerak dahulu dengan menunggang motosikal masing-masing…”
“Tidak lama kemudian, saya diberitahu rakan-rakan lain bahawa mereka (terbabit) kemalangan sebelum terus bergegas ke lokasi berkenaan. Saya terkejut melihat keadaan mereka yang parah, apatah lagi apabila disahkan bahawa Muhammad Shahrul dan Muhammad Aliff sudah meninggal dunia…”
Kejadian berlaku dengan sangat pantas, padahal kami baru sahaja berborak dan berkumpul bersama-sama, namun saya perasan dua kawan saya yang meninggal dunia agak diam malam tadi, tidak seperti biasa…”
Muhammad Farihan mengakui mereka bertiga sangat rapat dan hampir setiap hari melepak bersama, selain berada di dalam kelas yang sama di sekolah.
“Muhammad Aliff adalah kawan baik saya sejak berusia tujuh tahun lagi dan melihat dia pergi di depan mata adalah pengalaman yang memeritkan buat saya. Pastinya, saya akan merindui kenangan bersama mereka berdua…”
“Kali terakhir berjumpa Muhammad Aliff, dia ada memberitahu saya bahawa dia sudah mahu pergi, tetapi tidak dijelaskan ke mana dan saya tidak sangka ia adalah petanda bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya…”
“Dalam masa yang sama, saya berdoa semoga Bilal yang kini mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu, akan selamat dan apa yang menimpa kesemua sahabat saya ini akan dijadikan pengajaran agar lebih berhati-hati ketika di jalan raya…”
Sumber: Portal
PERHATIAN: Pihak Sinetron Malaya tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Sinetron Malaya juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Jangan lupa komen yang baik baik sahaja.