Pelakon, Oktovia Manrose mengakui agak risau dengan trend drama tempatan masa kini yang disifatkan agak ‘daring’ sehingga tidak mempedulikan norma-norma serta budaya masyarakat Melayu dan agama Islam.
Menurut pemilik nama lengkap Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman ini, sewaktu mula-mula berkecimpung di dalam dunia industri lakonan, dia akan berfikir panjang terlebih dahulu sebelum bersetuju untuk melakonkan sesuatu adegan.
Katanya lagi, faktor peredaran zaman mungkin menjadi penyumbang utama kepada isu ini.
“Faktor-faktor seperti itulah saya menjatuhkan diri daripada industri ketika ini. Memang sesetengah babak itu adalah tuntutan daripada produksi tetapi kita juga ada pilihan untuk menjaga batas.
“Kita boleh je sebenarnya berbincang dengan pengarah. Sapa pun pernah request pada pengarah untuk tidak melakonkan babak-babak yang saya tak selesa dan mereka okay sahaja. Tapi kadang-kadang ada pelakon yang sendiri nak tambah-tambah adegan tu.
“Saya dulu pun takut nak buat perkara-perkara macam tu tapi dunia sekarang sangat-sangat berbeza. Sekarang ini ramai pelakon yang agak daring. Mungkin sebab pengaruh sekeliling atau budaya barat.
“Bagi mereka macam bukan satu masalah tapi ia sebenarnya merupakan masalah yang sangat besar,” katanya kepada MH.
Terdahulu, ibu kepada seorang cahaya mata ini ditemui pada Pelancaran Kempen Ramadan Syawal 1443H dan Aplikasi Terbaharu TV Alhijrah, di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Melihat pada situasi semasa, suami kepada Oktovia, Mohamad Khairul Efsan Md Isa mendedahkan dirinya tidak meletak sebarang syarat khusus.
Sebaliknya, dia percaya dengan segala keputusan yang dibuat oleh Oktovia
“Bagi saya mudah sahaja, selagi perkara itu tidak bercanggah dengan agama dan maruah seorang perempuan, saya tidak menghalang kerana itu sudah menjadi kerjaya dia.
“Tapi saya tahu isteri saya ini memang bijak memilih dan pandai buat keputusan. Sebelum bagitahu pun, saya tahu dia akan tapis dahulu setiap tawaran yang diterima. Saya memang percaya dengan segala keputusan isteri saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Oktovia turut mendedahkan dirinya kini sememangnya agak selektif dalam soal pemilihan watak lebih-lebih lagi selepas memutuskan untuk berhijrah dan mengenakan hijab.
“Saya memang ada terima beberapa tawaran tapi disebabkan penampilan saya yang kini sudah berhijab, saya tak boleh nak bertindak sesuka hati seperti dahulu.
“Dulu cerita-cerita yang saya lakonkan memang agak ‘daring’. Takkanlah dengan imej berhijab ni saya masih lagi nak berkelakuan seperti itu. Saya akui memang agak susah kerana saya perlu memilih setiap watak yang ditawarkan,” kongsi lagi.
Sekadar informasi, Oktovia dan Efsan baru sahaja mendirikan rumah tangga pada tanggal 21 Disember lalu.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Oktovia dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Rayyan Zulkarnain, 11.
Sumber: MH