Tekad membantu mangsa banjir di pantai timur, Ardell Aryana bersama tiga lagi sukarelawan menuju ke Terengganu semalam, sebelum dijadualkan meneruskan misi sama di Kelantan.
Katanya, dengan membawa bersama dua bot gentian kaca, mereka mengagihkan makanan dan barangan keperluan asas kepada 120 keluarga yang terputus bekalan sebaik kawasan kediaman mereka dinaiki air bah.
“Bantuan (banjir) sangat kurang di Pantai Timur tidak seperti di Kuala Lumpur dan Selangor sebelum ini.
Kami yang pertama masuk ke kampung ini kata seorang pakcik . Setiap tempat jauh ke dalam.
“Bukan mudah nak sampaikan bantuan ke dalam (kawasan kampung) yang memerlukan sampan sebab di bahagian tengah air masih tinggi paras pinggang.
“35% hasil dana kami dapat beli barang keperluan untuk 120 keluarga di dua kampung. Semoga kita sama-sama bantu mereka. Terus kuat orang pantai timur,” katanya.
Pemilik nama sebenar Nurul Hidayah Mohd. Amin yang juga isteri kepada aktor Nadzmi Adhwa itu turut berterima kasih kepada penduduk kampung yang membantu pasukan kecilnya memunggah barangan dibeli selain melancarkan urusan agihan.
Difahamkan, mereka yang menuju ke Hulu Terengganu dari Kuala Lumpur terus membeli barangan keperluan di pasaraya di daerah berhampiran sebelum menaiki bot ke kawasan sasaran untuk proses pengagihan hingga tengah malam tadi.
Video:
Antara barangan hasil sumbangan orang ramai yang dihantar menaiki bot termasuk beras, telur, sardin, gula kicap, mi segera serta tuala wanita.
Terdahulu, Polis Terengganu sejak Khamis minggu lalu mengenal pasti sebanyak 25 kampung dalam lima zon daerah Hulu Terengganu terjejas teruk dengan membabitkan seramai 1,432 mangsa.
Situasi berkenaan dikatakan serius memandangkan paras air boleh mencecah sehingga ke bumbung selain 14 jalan utama terputus hubungan dan hanya boleh dilalui dengan menggunakan bot termasuk ke Empangan Kenyir.
Sementara itu, Ardell turut berkongsi rasa seb4k melihat situasi dilalui orang kampung terutama di kawasan yang sukar dimasuki tanpa menggunakan sampan atau bot.
Malah ketika sampai pada siang harinya, bintang XX Ray III itu juga berkongsi pengalaman bertembung pasukan keselamatan yang sedang menjalankan operasi mencari seorang mangsa banjir yang dipercayai lemas.
Selain berterima kasih kepada penduduk setempat, Ardell juga melayangkan rasa syukur terhadap sokongan penyumbang hingga membolehkan keperluan asas dapat diberikan segera kepada individu memerlukan.
Hakikatnya, pelakon berusia 31 tahun itu bukan asing dalam melaksanakan kerja kebajikan apabila sebelum ini kerap turun padang hingga ke Sabah dan luar negara bagi melaksanakan misi kemanusiaan.
Akhir tahun lalu, Ardell yang merupakan ibu kepada seorang anak ‘berkampung’ di Syria bagi mengikuti misi bantuan musim sejuk bersama badan bukan kerajaan (NGO) MyFundAction.
Komen netizen:
Sumber: Kosmo