Home Isu Semasa 5 Mayat Ditemukan Dari Kapal Dinaiki Jutawan Yang Karam

5 Mayat Ditemukan Dari Kapal Dinaiki Jutawan Yang Karam

21
0

Penyelam yang mencari enam mangsa, termasuk jutawan teknologi dari United Kingdom (UK) Mike Lynch, yang hilang selepas kapal layar mewah karam di Sicily, berjaya mengeluarkan empat mayat dari bangkai kapal dan dilaporkan menemukan mayat kelima.

Perkembangan tragis ini, selepas tiga hari operasi pencarian sejak “Bayesian” karam pada awal pagi Isnin lalu, telah mengesahkan enam kematian, dengan seorang mangsa masih hilang.

Tiada pengecaman rasmi telah dilakukan ke atas mayat yang ditemukan, tetapi Lynch dan anak perempuannya Hannah yang berusia 18 tahun adalah antara yang hilang sejak kapal layar tersebut karam dalam ribut di luar pulau Itali itu.

Kapal layar berbendera British sepanjang 56 meter (m) itu berlabuh kira-kira 700 m dari Porticello, timur Palermo, apabila ia dilanggar oleh sengkayan—fenomena serupa dengan puting beliung mini. Kapal itu tenggelam dalam beberapa minit.

Lima belas orang berjaya diselamatkan, termasuk isteri Lynch dan seorang wanita bersama bayi berusia setahun. Namun, mayat seorang lelaki, dipercayai cef kapal layar itu, ditemukan beberapa jam selepas kejadian.

Lynch bersama anak perempuannya; peguamnya, Christopher Morvillo dan isterinya Neda; serta Jonathan Bloomer, pengerusi Morgan Stanley International, dan isterinya Judy, semuanya dilaporkan hilang.

Seorang wartawan AFP di Porticello menyaksikan pekerja kecemasan memindahkan empat beg mayat dari bot yang kembali dari laut ke dalam khemah di dermaga atau ke ambulans yang sedang menunggu.

Beberapa media kemudian melaporkan penemuan mayat kelima, tetapi ia belum dibawa ke darat.

Dalam kemas kini lewat Rabu, pihak pengawal pantai mengesahkan penemuan empat mayat.

Lokasi kapal layar itu, yang sebahagian besarnya masih utuh di dasar laut kira-kira 50 meter di bawah permukaan air, menjadi cabaran besar, menurut pihak berkuasa.

Lynch, seorang usahawan yang kadangkala digelar Bill Gates dari Britain, menjemput tetamu ke atas kapal layarnya untuk meraikan pembebasannya dalam kes penipuan di Amerika Syarikat.

Lelaki berusia 59 tahun itu dibebaskan daripada semua pertuduhan di mahkamah San Francisco pada Jun, selepas dituduh terlibat dalam penipuan bernilai A$11 bilion yang berkaitan dengan penjualan firma perisiannya, Autonomy, kepada Hewlett-Packard.

Sumber: Portal

PERHATIAN: Pihak Sinetron Malaya tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Sinetron Malaya juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Jangan lupa komen yang baik baik sahaja.

Previous articleMimpi Indah Berakhir, Rugi Lebih RM1 Juta

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here