Nama Izzue Islam cukup terkenal dalam dunia seni tanah air. Namanya menaik menerusi kumpulan muziknya Fourteen bersama beberapa rakan penyanyinya yang lain. Kemudian dia telah berubah karier dan lebih fokus sebagai seorang penyanyi.
Izzue Islam sering ditanyakan soalan yang sama sejak dia melangsungkan perkahwinan dan dia berkata yang dia sudah lali apabila disoal mengenai kehadiran cahaya mata sejak mendirikan rumah tangga hampir sembilan tahun lalu.
View this post on Instagram
Menurut laporan Utusan Online, Izzue Islam bersikap tenang dan tidak terasa hati sekiranya pertanyaan tidak berbaur sindiran.
“Ketika awal perkahwinan, saya memang rimas kalau orang asyik bertanya mengenai anak. Saya respons mengikut intonasi pertanyaan, apakah mereka betul-betul bertanya atau mahu menyindir.”
“Daripada marah, lebih baik saya beredar. Kalau sekadar bersembang, saya jawab sahaja. Tiada masalah kerana saya dan isteri akur, belum rezeki untuk menimang cahaya mata,” katanya.
Tambahnya lagi, dia pernah terfikir bagi mengambil anak angkat tetapi tidak mahu mengambil risiko kerana bimbang jika tidak mampu memikul tanggungjawab dengan sebaiknya
“Saya pernah berbincang dengan isteri tentang perkara ini. Namun, apabila difikirkan balik, saya jadi risau sebab takut anak terabai dan tidak mampu memberi kasih sayang sepenuhnya.”
“Jadual kerja saya pula tidak menentu dan bimbang kalau dibawa ke hulu dan ke hilir, nanti jatuh sakit dan akan membebankan banyak pihak,” ujarnya.
Sementara itu, Izzue juga bersyukur mempunyai ahli keluarga termasuk mentua yang memahami dan tidak pernah mendesak atau mempersoalkan mengenai zuriat.
Tambahnya lagi, jadual hariannya dipenuhi dengan komitmen kerja membuatkan dia tidak sempat berasa kesunyian.
“Kalau orang cakap, anak adalah punca bahagia, kami pula mempunyai pendapat sendiri. Kebahagiaan itu boleh kita cipta, meskipun tanpa kehadiran cahaya mata.”
“Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Cuma, sudah tentu ia akan menjadi lebih bermakna apabila dikurniakan anak.
“Ada juga yang memiliki ramai anak tetapi kehidupan porak-peranda, ditambah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” kongsinya.