Derbi Barat Laut Hadir Pada Waktu Yang Sukar Buat Liverpool Untuk ‘Menjamu’ United Di Anfield

Seperti semua peminat bola sepak sedia maklum, tengah malam ini (12.30 tengah malam waktu Malaysia) bakal berlangsung satu perlawanan yang paling dinanti-nantikan oleh semua pencinta bola sepak iaitu Derbi Barat Laut antara Liverpool dan Manchester United.

Perlawanan kali ini boleh dikatakan hadir tepat pada waktunya untuk peminat apabila dua pasukan ini sedang menghuni 2 tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan jarak 3 mata.

Manchester United

Manchester United bakal bertandang ke kubu kuat Liverpool di Anfield dalam perlawanan kali ini dengan rekod cemerlang dalam perlawanan-perlawanan sebelumnya. Penulis merasakan ini adalah masa yang tepat buat skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer. United mencatat 4 kemenangan dan satu keputusan seri dalam 5 perlawanan terakhir mereka dan mengangkat United ke tangga teratas liga dengan 36 mata.

Dalam misi meneruskan rentak cemerlang, United juga pastinya mengimpikan untuk memecahkan tembok kuat Anfield apabila Liverpool tidak pernah kalah dalam 64 perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris di Anfield. Ayam tambatan United, Bruno Fernandez sudah pasti bakal menjadi duri dalam daging buat Liverpool dan sudah pastinya Ole mempertaruhkan pasukan terbaik beliau untuk bertembung dengan juara bertahan Liga Perdana Inggeris tengah malam ini.

Antara pemain-pemain yang dijangka bakal menguatkan pasukan United ialah Paul Pogba, Bruno Fernandez, Marcus Rashford, Harry Maguire dan David De Gea.

Liverpool

Perlawanan Derbi Barat Laut kali ini mungkin bukan masa yang tepat buat Liverpool menghadapinya kerana pasukan The Reds sedang bergelut dengan prestasi apabila hanya mencatat 2 kemenangan dalam 5 perlawanan terakhir mereka dalam saingan liga. Selain dihimpit dengan masalah kecederaan beberapa tonggak utama, seperti Van Dijk, Diogo Jota, Joe Gomez dan beberapa pemain lain, Liverpool seperti hilang tumpuan dalam saingan liga untuk beberapa perlawanan selepas menang besar 7-0 ke atas Crystal Palace baru-baru ini.

Tetapi, Jurgen Klopp sudah pasti merencanakan sesuatu untuk ‘menjamu’ kedatangan United di Anfield tengah malam ini. Dan sudah pasti tiada jalan mudah buat United untuk menembusi kubu kuat Anfield walaupun tanpa kehadiran penyokong ‘The Kop’ di stadium. Klopp dijangka akan mengekalkan tiga penyerang serangkai Mo Salah, Sadio Mane dan Bobby Firmino dalam perlawanan ini. Dijangka juga Joel Matip akan kembali dalam pasukan Liverpool dan akan berganding bersama Fabinho di posisi pertahanan. Keadaan ini akan menolak kembali Henderson ke bahagian pertahanan tengah sebagai Defensive Midfielder.

Cuma, mungkin akan ada perubahan di bahagian pertahanan kiri dan kanan Liverpool yang sering diisi oleh Andy Robertson dan Trent Alexander Arnold kerana kebanyakkan peminat berpendapat prestasi mereka agak merosot dalam beberapa perlawanan liga sebelum ini.

Rumusan

Apa pun keputusan pada malam ini, sudah pasti akan memberi kesan pada kedudukan kelompok atas Liga Perdana Inggeris yang nampak semakin sengit untuk memburu gelaran juara walaupun baru menyelesaikan 17 perlawanan setakat ini. Walaupun tanpa kehadiran penyokong akibat pandemik Covid-19, perlawanan Derbi Barat Laut ini tetap hangat dan hadir pada waktu yang tepat untuk ditonton.

Beberapa fakta menarik tentang Derbi Barat Laut ini:

  1. Perlawanan Liverpool vs Manchester United mencapai anggaran 700 juta tontonan seluruh dunia pada Mac 2015. Menewaskan tontonan perlawanan Real Madrid vs Barcelona pada bulan dan tahun yang sama, hanya mencapai anggaran 400 juta hingga 500 juta tontonan sahaja.
  2. Pertembungan ini melibatkan dua kelab paling berjaya di England dengan Liverpool menjuarai 19 gelaran liga dan United menjuarai 20 gelaran liga.
  3. Liverpool vs Manchester United pada Mac 2015 ditayangkan di lebih 200 negara, jumlah ini 4 kali lebih banyak berbanding perlawanan El Clasico.

Sumber: Premier League

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*